03 July 2010

memotong kuku

salam..

info ini saya ambil dari facebook untuk di kongsi bersama..






Kuku yang dicipta oleh Allah swt mempunyai peranan dan kepentingannya kepada manusia. Dalam Islam, kuku berperanan dalam beberapa hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam. Walaupun dilihat seolah-olah perkara kecil, kadang-kadang ia menjadi perkara besar. Contohnya ketika seseorang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kuku. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wuduk atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.

Hukum dan Hikmat Memotong Kuku

Memotong kuku termasuk dalam amalan sunat. Hal ini disebut dalam hadis iaitu daripada Saidatina Aisyah yang maksudnya “Sepuluh perkara yang dikira sebagai fitrah (sunnah) iaitu memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke dalam hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak). Berkata Zakaria “Aku lupa yang ke-10 kecuali berkumur” (riwayat Muslim)

Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku kaki atau tangan. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku adalah menghilangkan kekotoran yang melekat atau berkumpul di celahnya. Kotoran itu jika tidak dibersihkan akan dan boleh menghalang air ketika bersuci. Selain itu, jika kuku dibiarkan panjang segala kekotoran atau najis akan terlekat padanya dan nescaya ia menjejaskan kesihatan.

Cara dan benda untuk memotong kuku.

Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan, kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan,kemudian kaki kiri. Menurut Imam Nawawi, sunat memotong kuku bermula dari jari tangan kanan keseluruhannya dari jari telunjuk hingga ke jari kelingking dan diikuti ibu jari. Kemudian tangan kiri bermula dari jari kelingking hingga ibu jari. Sementara kuku kaki pula bermula dari kaki kanan daripada jari kelingking hingga ibu jari. Kemudian kaki kiri daripada ibu jari hingga kelingkiing.

Harus seseorang memotong menggunakan gunting, pisau atau benda khas seperti alat pemotong kuku supaya tidak memudaratkan kuku atau jarinya. Selesai memotong kuku segeralah membasuh tangan dengan air. Ada riwayat mengatakan bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana boleh mewarisi penyakit kusta.

Waktu Memotong Kuku

Islam juga mengambil kira waktu memotong kuku yang tidak tertakluk kepada panjang kuku tersebut. Kuku harus dipotong pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, jangan membiarkan kuku tidak dipotong melebihi 40 hari. Hal ini diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang bermaksud “Sudah ditentukan waktu bagi kami memotong misaim, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada 40 malam”. (riwayat Muslim)

Menurut Imam Syafie dan ulamaknya, sunat memotong kuku sebelum mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum ke masjid.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah katanya, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi orang yang bersaf, kemudian mengerjalan solat sunat, dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata apa-apa hinga selesai solat, maka jadilah penebus dosa antara Jumaat itu dengan Jumaat sebelumnya” (Riwayat Ahmad).

Daripada Abu Hurairah maksudnya “Nabi saw memotong kuku dan menggunting misaim pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk solat” (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani). Sementara itu, menurut Ibnu Hajar, sunat memotong kuku pada Khamis, pagi Jumaat atau Isnin.

Menanam Potongan Kuku

Islam sangat perihatin terhadap memuliakan anak Adam, termasuklah anggota badanya. Kuku yang dipotong, sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda hormat kerana ia adalah anggota manusia.

Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas dan Junub

Kitan al-Ihya’ ada menyatakan bahawa jika seseorang dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum mandi junub. Ini kerana potongan itu akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

Memanjangkan Kuku

Tabiat memanjangkan kuku bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw yang menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku panjang, nescaya banyak perkara yang membabitkan hukum seperti wuduk, mandi wajib dan sebagainya. Selain itu, antara perkara sunat dilakukan kepada orang sakit atau nazak adalah mengelokkan diri iaitu dengan memotong kuku, misaim, mencabut bulu ketiak, cukur bulu ari-ari, bersugi, mandi, berwangian dan memakai pakaian bersih.




ladysarawak@blogspot.com

Whatsapp Button works on Mobile Device only

Start typing and press Enter to search